Riba: Dulu dan Sekarang
Persoalan riba adalah satu persoalan yang amat serius. Justeru, tidak hairanlah jika Allah mengishtiharkan perang kepada mereka yang terus beramal dengan riba setelah datang wahyu dari Allah yang melarang keras amalan riba ini.
Tidak ada keraguan tentang pengharaman riba kerana ia jelas membawa keburukan dan penindasan kepada mereka yang terlibat. Mereka yang kaya terus kaya manakala yang miskin pula akan terus merana. Pengharaman riba jelas bertujuan melindungi masyarakat khususnya golongan yang lemah dan miskin dari terus ditindas oleh golongan kaya dan hartawan. Juga jelas di sini adalah pengharaman riba adalah kerana keburukan dan kesan dari sudut ekonominya terhadap mereka yang terlibat khususnya mereka yang amat-amat memerlukan pertolongan dari sudut kewangan.
Jika ditinjau dari sudut amalan riba yang diharamkan, ianya pada kebiasaannya berlaku dalam urusan pinjaman atau riba al qardh. Apabila se orang yang memerlukan pinjaman bagi memenuhi keperluan hariannya seperti makan dan minum dan sebagainya, maka cara paling mudah ialah membuat pinjaman kepada mereka yang berada. Mereka yang berada pula tidak rela untuk memberi bantuan secara sukarela tanpa sebarang imbuhan ataupun melalui qard al hasan. Sebaliknya meletakkan syarat bahawa semasa memulangkan pinjaman tersebut, maka perlu dibayar dengan jumlah yang lebih besar sebagai satu bentuk imbuhan kepada pemberi pinjaman. Manakala peminjam pula, kerana kesempitan hidup terpaksa menerima syarat yang dikenakan oleh pemberi pinjaman meskipun ianya menambah beban yang terpaksa ditanggung olehnya. Si kaya bertambah kaya tetapi ianya terhasil dari kesusahan dan penderitaan orang lain. Amat jelas di sini bahawa terdapat unsur-unsur kezaliman dan penindasan secara halus terhadap peminjam. Jelas sekali tambahan yang berlaku dalam transksi ini amat patut diharamkan kerana ianya menjadi punca ketidakadilan dalam masyarakat.
Di dalam sebuah hadith Nabi s.a.w pernah bersabda: Setiap qard (pinjaman) yang terdapat di dalamnya manafaat tambahan, maka ianya adalah riba”. Hadith ini amat sesuai diaplikasikan di dalam kes di atas kerana manafaat tambahan itu adalah satu kezaliman ke atas mereka yang meminjam.
Namun jika situasi di atas bertukar, maka kesannya juga akan turut bertukar. Sebagai contoh, jika sekiranya si kaya pula yang berhutang dengan si miskin dengan niat untuk membantu si miskin tersebut agar mampu memperolehi pendapatan tambahan dengan menjanjikan hibah atau hadiah secara bulanan kepada si miskin tadi agar tahap ekonominya bertambah baik, maka adalakah ianya termasuk riba dan patut diharamkan?
Secara umum, pengharaman sesuatu perkara adalah kerana keburukan atau kesan negatif yang akan menimpa mereka melakukannya atau mereka yang terlibat hasil dari perbuatan tersebut. Kesan negatif tersebut mungkin terpaksa ditanggung oleh individu dari sudut fizikal, material atau mental. Kesan juga mungkin terhadap masyarakat umum atau terhadap kesucian ugama Islam itu sendiri.
Jika disebut apa sahaja perkara yang diharamkan, maka amat jelas ianya terdapat keburukan tertentu samada ianya dapat dilihat dengan jelas oleh manusia atau ianya menjadi rahsia Allah s.w.t . Namun secara umum, keburukan dan kesan negatif tentunya dapat dilihat. Arak diharamkan kerana ianya boleh menyebabkan seseorang itu hilang akal. Mencuri diharamkan kerana ianya akan mengambil hak orang lain tanpa izin dan boleh menyebabkan pertelingkahan dan perbalahan. Rasuah diharamkan kerana ia boleh menyebabkan seseorang itu mengambil suatu yang bukan haknya melalui rasuah walaupun dia sebenarnya tidak patut memperolehinya atau melepaskan diri dari hukuman melalui rasuah. Zina diharamkan kerana ianya boleh melahirkan anak di luar nikah yang akhirnya akan memporakperandakan masyarakat dan institusi kekeluargaan. Contoh-contoh di atas jelas menggambarkan betapa buruknya akibat melakukan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah.
Jadi di sini boleh dikatakan bahawa jika sekiranya sesuatu perkara itu tidak membawa keburukan bahkan membawa kebaikan yang amat jelas walaupun ianya terdapat persamaan dari konsepnya, maka tidak ada sebab kenapa perkara itu harus diharamkan. Memang hak menghalal atau mengharamkan sesuatu perkara itu adalah hak mutlak Allah dan manusia tidak hak untuk mencabuli hak tersebut. Namun Al Qur’an diturunkan oleh Allah secara ijmali (ringkas) dan bukan tafsili (terperinci) manakala hadith pula akan menerangkannya secara terperinci. Begitupun hadith tidak juga menerangkan semua perkara dengan terperinci pada setiap masa bahkan ianya berlaku hanya di zaman Nabi s.a.w. Selepas kewafatan Nabi banyak perkara-perkara baru timbul yang belum ada hukum terhadapnya. Para mujtahidin bertanggungjawab mengambil alih tugas Nabi s.a.w seperti yang dijelaskan dalam hadith ” Ulama’ itu adalah pewaris para Nabi” setelah kewafatan Nabi.
Al Quran dan hadith meletakkan asas yang amat kukuh dalam semua perkara. Bagi para ulama’ dan mujtahidin perlu berusaha dan mencari asas-asas tersebut untuk diaplikasikan kepada perkara-perkara baru yang berlaku dalam masyarakat.
Berbalik kepada persoalan riba, hukumnya memang jelas. Ianya perkara yang diharamkan dan ianya wajib dijauhi. Namun persoalannya di sini bukan persoalan halal atau haramnya riba, tapi persoalannya adakah setiap yang berganda seperti disebutkan dalam al quran sebagai ” ad’afan mudha’afah” adalah riba? atau adakah setiap perkara yang mempunyai manafaat itu juga dianggap riba seperti yang disebut dalam hadith Nabi s.a.w :Setiap pinjaman (qardh) yang mempunyai manafaat tertentu, maka ia adalah riba”?
Dalam sebuah hadith Nabi s.a.w bersabda:
“Sebaik-baik mereka yang membayar hutang adalah mereka yang membayar lebih”
hadith ini dengan jelas menggambarkan betapa umat Islam amat digalakkan untuk menghargai jasa baik dan pertolongan yang diberikan kepada mereka oleh orang lain-lain. Meskipun pada dasarnya dilihat bahawa membayar lebih dari jumlah hutang yang dipimjam terdapat unsur-unsur riba, namun hadith di atas mengecualikan keadaan ini kerana ianya dilakukan oleh penerima hutang dengan keredhaannya sebagai terima kasih di atas bantuan yang diberikan. Meskipun terdapat unsur riba iaitu ‘lebihan’ dalam kes di atas namun ianya tidak boleh dianggap riba kerana ia tidak disyaratkan oleh pemberi hutang sebaliknya dibuat secara sukarela dan tanpa sebarang paksaan.
Dari hadith ini juga dapat difahami bahawa bukan setiap ‘lebihan’ itu boleh dikira sebagai riba. Riba hanya akan berlaku sekiranya ‘lebihan’ itu terdapat unsur-unsur kezaliman, penindasan dan eksploitasi dari pihak pemberi pinjaman terhadap peminjam seperti yang lazim dilakukan di zaman jahiliyyah dan juga oleh ceti dan along. Namun jika sekiranya ‘lebihan’ yang dibayar oleh pihak yang meminjam kepada peminjam di atas dasar sukarela dan sebagai membalas jasa baiknya kerana kesediaan untuk membantunya ketika berada di dalam kesempitan, maka ‘lebihan’ itu tidak boleh dianggap riba kerana tiadanya unsur kezaliman dan penginayaan.
Dalam sebuah hadith Nabi s.a.w bersabda: “Sesungguhnya Allah itu baik dan suka kepada perkara yang baik”
Hadith di atas menggambarkan bahawa jika sesuatu perkara itu boleh membawa kebaikan kepada manusia dan tiada unsur-unsur negatif seperti kezaliman, penginayaan, penipuan atau seumpamanya maka tidak mungkin Allah mengharamkannya terhadap hambanya. Allah s.w.t hanya akan mengharamkan sesuatu yang membawa keburukan kepada manusia tidak kira samada keburukan itu terhadap diri, aqal, ugama, maruah, harta dan lain-lain.